Pelarian Rohingya Uji Kemampuan Penyelarasan ASEAN
Sejak konflik perkauman
berlaku di Rakhine, Myanmar pada tahun lalu, ramai orang Rohingya melarikan
diri ke negara jiran. Arus pelarian itu telah mempengaruhi kestabilan Thailand,
Malaysia dan Bangladesh. Duta dari lebih 20 buah negara dan pegawai kerajaan
Thailand mengadakan mesyuarat dalam talian pada Januari lalu bagi membincangkan
bantuan kecemasan kepada orang Rohingya yang memasuki wilayah Thai secara haram
dan masalah perundangan berkenaan. ASEAN pula berharap pihak berkuasa Myanmar
segera mengambil tindakan dan mengawal situasi berkenaan.
Menurut kerajaan
Thailand, dalam tempoh Oktober hingga Disember tahun lalu, seramai 2,817 orang
Rohingya ditahan kerana memasuki negara tersebut secara haram. Hal seumpama ini
terus berlaku pada tahun 2013. Pada Januari lalu, polis Thailand telah
menjalankan operasi di kawasan sempadannya dengan Malaysia dan menangkap
sekurang-kurangnya 843 orang Rohingya di sebuah ladang getah yang terpencil.
Baru-baru ini, Thailand menghadapi tekanan masyarakat antarabangsa yang
mendesak untuk menempatkan pelarian itu dan tidak mengembalikan mereka ke
Myanmar. Perdana Menteri, Yinluck Shinawatra berkata bahawa walaupun pelarian
tersebut masuk secara haram, namun negaranya akan memberikan perlindungan
secara sementara kepada mereka berdasarkan prinsip kemanusiaan. Beliau juga
menyeru PBB dan pertubuhan antarabangsa yang lain agar menghulurkan bantuan
serta mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi masalah berkenaan.
Menurut jangkaan PBB,
seramai sejuta orang Rohingya tinggal di Rakhine, Myanmar. Kebanyakannya rakyat
Myanmar beragama Buddha, manakala Rakhine bersempadan dengan Bangladesh yang
beragama rasmi Islam. Orang Rohingya yang beragama Islam yang berpindah ke Rakhine
dianggap oleh kerajaan Myanmar sebagai pendatang haram dari Bangladesh. Oleh
sebab Myanmar enggan mengakui kewarganegaraan golongan tersebut, begitu juga
dengan Bangladesh, maka boleh dikatakan orang Rohingya tidak bernegara.
Menurut Suruhanjaya Tinggi
PBB mengenai Pelarian (UNHCR), ramai pelarian meninggalkan Myanmar dan
Bangladesh dan memilih Asia Tenggara, terutamanya Malaysia dan Indonesia yang
mempunyai ramai penduduk beragama Islam. Thailand kini menjadi transit yang
paling dekat dengan bayaran yang paling rendah.
Penganalisis
berpendapat, masalah penganut Islam Rohingya bukan lagi sekadar urusan dalaman
Myanmar, bahkan telah memberi kesan kepada negara ASEAN. Walau bagaimanapun, ia
menguji kemampuan ASEAN dalam penyelarasan dan penanganan peristiwa politik dan
perkauman yang sensitif